Tuesday 31 January 2012

Penggunaan Teknologi Dalam Perniagaan (:

Penggunaan Teknologi Dalam Perniagaan
Teknologi yang relevan boleh memberikan impak positif jika digunakan dalam sesebuah perniagaan. Selain menjadi komponen penting dalam perniagaan, perhubungan harmoni di antara teknologi dan perniagaan harus diwujudkan. Malah, jika penggunaan teknologi diabaikan, perniagaan akan hilang daya saing samada di peringkat tempatan dan global. Bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai penggunaan teknologi dalam perniagaan, kita ikuti petikan daripada satu persidangan yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.
Dr. Martin Berlin, Pengurus Pengambilan, McKinsey & Company (Malaysia), selaku pengerusi dalam persidangan tersebut telah mendapatkan pandangan dan ide bernas daripada ahli panel yang terdiri daripada Jason Lim, Pengarah, Kumpulan Perniagaan Internet, Microsoft (Malaysia), Yohani Yusof, Pengurus Saluran e-Niaga Asia Pasifik, Intel Electronics, John Wong, Rakan Kongsi dari General Atlantic Partners, Baharum Salleh, Presiden, TM Multimedia, dan Ramesh Subramaniam, dari McKinsey & Co (Singapura).
Sewaktu menjawab soalan pertama yang diajukan dalam persidangan yang diadakan bersempena program Venture 2001 itu, John berpendapat bahawa teknologi yang diterapkan dalam pelbagai bidang perniagaan seperti telekomunikasi, peruncitan, broker saham, kewangan dan sebagainya adalah untuk tujuan kebaikan.
Malah, katanya, teknologi akan terus menjadi sebahagian atau komponen dalam apa juga jenis perniagaan. Dan, banyak pembangunan teknologi untuk beberapa tahun kebelakangan ini dibiayai oleh pemodal teroka.
Merujuk kepada kelebihan teknologi, Jason turut memberikan pendapat yang selari. Katanya "Wujud angin perubahan dari segi persaingan samada dalam dan luar negara. Jadi, syarikat perlu menggunakan teknologi untuk meningkatkan hasil, mengurangkan kos operasi, meningkatkan kepuasan pelanggan, rakan kongsi dan pekerja. Selain membantu dalam peningkatan hasil, penggunaan teknologi juga dapat mengembangkan capaian ke negara lain apabila wujudnya teknologi canggih seperti Internet dan e-dagang. Persoalannya sekarang, bagaimana teknologi boleh digunakan pakai untuk membantu perniagaan menjadi lebih cekap."
Apabila beliau ditanya mengenai kepentingan cantuman teknologi dalam perniagaan sepanjang masa, Jason menegaskan bahawa wujud hubungan yang harmoni di antara teknologi dan perniagaan, misalnya teknologi maklumat (IT) boleh membantu syarikat agar lebih berjaya. Yohani juga mengakui perlunya hubungan ini, tetapi menekankan peranan 'orang' sebagai salah satu elemen penting untuk memastikan teknologi yang digunakan berfungsi. Jadi, tumpuan kepada pengguna teknologi perlu menerusi pendidikan dan latihan agar mereka memahami bagaimana teknologi mewujudkan hubungan harmoni untuk pertumbuhan perniagaan.
Sementara itu John cuba membahagikan teknologi kepada dua bahagian iaitu membina dan membinasakan. Katanya, "teknologi membina dari segi penyediaan aplikasi, peningkatan produktiviti, kecekapan, dan perkara lain yang baik, hasil penggunaan teknologi. Manakala, bahagian yang merosakkan boleh dilihat dalam beberapa aspek, contohnya apabila perniagaan menjadi terlalu produktif dan kecekapan meningkat, maka berlaku kejatuhan harga produk. Ini menyebabkan perniagaan berkenaan lebih sukar bersaing untuk mengekalkan atau meningkatkan bahagian pasaran. Kesannya, ada perniagaan yang terus lemah dan gagal."
Bagaimanapun, reliti kejayaan sesebuah perniagaan tidak tertakluk kepada teknologi semata-mata. Menurut Ramesh, syarikat perlu asas perniagaan yang baik dalam ekonomi baru kerana model perniagaan yang baik dari segi kewangan akan berjaya. Teknologi pada asasnya hanya membantu dan pengusaha tidak boleh lari daripada kenyataan bahawa perniagaan perlu asas dan model yang baik. Contohnya, model terbaru seperti 'brick and click' sekali pun perlu asas perniagaan yang baik untuk dijalankan. Jika tiada model perniagaan yang baik untuk digabungkan dengan inovasi dan teknologi pintar, maka perniagaan itu tidak akan berjaya.
Penggunaan teknologi adalah kunci kejayaan e-biz
Sementara itu, Baharum cuba melihat penggunaan teknologi dalam perniagaan dari perspektif berlainan. Satu daripadanya, teknologi sebagai pemudah dan satu lagi teknologi sebagai produk akhir. Contohnya mikroprosesor merupakan salah satu produk akhir teknologi yang berjaya sejak berpuluh tahun yang lalu. Satu lagi teknologi yang sering diperkatakan ialah Internet di mana kecanggihannya cuba dibuktikan dalam beberapa perniagaan yang berteknologi seperti B2C (perniagaan-ke-pelanggan), dan gerbang (portal) Web.
"Kita tidak patut lebih tertumpu kepada teknologi, lalu mengabaikan model perniagaan yang patut menjadi pertimbangan utama. Misalnya, terdapat banyak perniagaan yang tidak menggunakan teknologi seperti pernigaaan restoren tetapi lebih menekankan kepada 'sentuhan personal'. Manakala, teknologi pengering beku menjadi pemudah dalam pengeluaran makanan seperti rendang atau serunding. Soalnya, adakah produk akhir yang dijual adalah teknologi itu sendiri atau dihasilkan menerusi penggunaan teknologi. Jadi, model perniagaan perlu mengenali perbezaan ini yang melibatkan pengeluaran khidmat atau produk akhir".
Menurut beliau lagi, teknologi sebagai pemudah bergantung kepada segmen yang dimasuki. Misalnya, bagi pengunjung restoren 'sentuhan personal' adalah lebih penting berbanding menjual secara dalam talian.

Namun, jika perniagaan melibatkan pemasaran atau pengeluaran secara besar-besaran dengan jualan yang cukup baik (seperti rendang atau serunding), maka teknologi banyak memainkan peranan. Terutamanya, pengeluaran besar-besaran perlu mengabungkan teknologi makanan yang berkaitan untuk memastikan kesegaran makanan tersebut. Selain itu, tempahan dalam talian dan penjualan menerusi Web boleh dibuat.
Pengetahuan mengenai IT dan internet adalah kelebihan untuk CEO
Ketika menjawab pertanyaan yang sama Yohani berkata, "perniagaan seperti restoren, pendidikan, latihan, perdagangan atau apa sahaja bentuk perniagaan yang tidak menggunakan teknologi berkemungkinan akan 'terjerat'. Apabila kita perhatikan di sekeliling, peningkatan persaingan bukan sahaja berlaku di peringkat
tempatan tetapi juga di peringkat global. Jika, sesuatu tidak dilakukan, persaingan akan hadir dalam bentuk baru seperti penggunaan IT, Internet, SMS, dan komunikasi tanpa wayar untuk mengatasi pesaing mereka."
Menurut beliau lagi, perniagaan yang memilih untuk tidak menggunakan teknologi akan menjejaskan daya saing sekaligus bahagian pasarannya. Jadi, pengusaha perlu memahami apakah 'alat' yang boleh digunakan untuk terus berdaya saing. Walaupun perniagaan seperti restoren memang diakui mengutamakan makanan,
perkhidmatan dan persekitarannya, namun satu lagi aspek yang penting ialah penggunaan teknologi dalam pemasaran. Ini untuk memastikan kunjungan yang berterusan dan restoren tersebut boleh diketahui ramai.
"Ada restoren yang menggunakan teknologi SMS. Para pelanggan boleh memperolehi maklumat mengenai sesebuah restoren semudah dihujung jari menerusi telefon bimbit dan bukannya pergi dari sebuah kedai ke kedai yang lain. Ini merupakan salah satu penggunaan teknologi dalam aspek pemasaran yang diguna pakai kebanyakan restoren di seluruh dunia ketika ini, khasnya untuk bersaing dengan yang lain. Ada banyak kreativiti dalam pemasaran. Tanpa mengira jenis perniagaan, persaingan perlu diambil kira," kata Yohani.
e-biz bukan sahaja mengenai membeli-belah
Dalam perbincangan yang sama, ahli-ahli panel turut diminta mengulas mengenai perkembangan teknologi untuk tempoh 10 tahun yang akan datang. Dalam hal ini John berpendapat bahawa pebangunan teknologi akan bertambah pantas dan bukan sebaliknya. Menurut beliau, pemproses mikro merupakan satu contoh yang baik dari segi kepantasan dan saiznya. Sejarah telah membuktikan, pengecilan saiz pemproses mikro merupakan satu contoh teknologi yang baik, manakala pembangunan teknologi dijangka terus meningkat.
"Teknologi juga boleh dikelaskan sebagai teknologi dari rak. Ia merujuk kepada sesuatu yang boleh dibeli dan diakses oleh setiap orang seperti PC dan notebook yang ada pada hari ini. Banyak perniagaan hari ini membeli dan menggunakan teknologi dari rak. Ada juga teknologi maju yang boleh membezakan sesebuah syarikat dengan yang lain, dan untuk lebih berdaya saing. Penggunaan teknologi maju perlukan pelaburan yang banyak. Manakala teknologi tanpa wayar untuk aplikasi merupakan satu contoh bagi teknologi maju."
Selanjutnya John menjelaskan bahawa, terdapat teknologi yang benar-benar termaju. Tetapi, tidak semua syarikat akan menggunakan teknologi tersebut kerana ia tidak diperlukan atau tidak mampu dimiliki pada hari ini. Contohnya, teknologi termaju dalam industri biotek, di mana satu kajian yang sedang berjalan ketika ini telah menemui gen yang berguna dalam pengubatan. Malah, dalam bidang IT sendiri terdapat teknologi terbaru, namun tidak semua syarikat menggunakannya kerana ia tidak diperlukan pada ketika ini.
Dalam sesi perbincangan yang semakin hangat itu, barisan ahli panel turut memberikan pandangan berbeza apabila ditanya mengenai teknologi yang diramal berpotensi di masa akan datang khasnya dalam kategori aplikasi utama (killer application). Antara teknologi yang dijangka menjadi aplikasi penting termasuklah
aplikasi tanpa wayar, 3G (generasi ketiga), pembantu peribadi digital (PDA), dan perkomputeran di rumah.

Sebagai rumusan, semua ahli panel bersetuju bahawa teknologi akan terus digabungkan dalam perniagaan.

Sunday 29 January 2012

Generasi komputer (:

THURSDAY, MARCH 22, 2007

Komputer merupakan satu mesin yang menerima data (input) dan kemudiannya memprosesnya menjadi maklumat berguna dan disimpan dalam storan sekunder untuk kegunaan masa hadapan atau dikeluarkan melalui printer dan lain-lain (output).

Komputer sebenarnya berasal dari bahasa latin computare yang bermakna menghitung kerana luasnya bidang garapan ilmu komputer, para pakar dan peneliti sedikit berbeza dalam mendefinasikan termininologi komputer.


Generasi Pertama-Tiub Hampagas
( 1942 - 1958 )

1. Menggunakan teknologi tiub hampagas (vakum).

2. Berupaya memproses beberapa ribu arahan sesaat,lebih pantas daripada pergerakan alat mekanik.

3. Berupaya menyimpan 10,000 - 20,000 aksara.

4. Menggunakan ingatan teras magnet. Teras magnet adalah gelang-gelang logam yang amat kecil dan boleh memberikan kuasa magnet melalui satu dari dua arah.


Generasi Kedua-Transistor 
(1959 - 1964)

1. Menggunakan transistor menggantikan tiub hampa gas.

2. Dicipta oleh tiga saintis di Bell Laboratories, iaitu J. Bardeen, H. W. Brittain dan W. Shockley.

3. Transistor adalah sebuah alat elektronik yang kecil di mana fungsinya adalah untuk memindahkan isyarat-isyarat elektrik melalui perintang.

4. Keserasian terhad. Atur cara yang ditulis untuk satu komputer perlu diubah untuk dilaksanakan pada komputer lain.

5. Menggunakan hanya pita untuk storan yang boleh memproses secara jujukan sahaja.

6. Menggunakan bahasa aras rendah iaitu bahasa simbolik.

7. Lebih kecil, ringan, murah tahan lama dan mudah digunakan.

8. Bahasa pengaturcaraan peringkat tinggi atau bahasa perhimpunan (assembly language) seperti FORTRAN dan COBOL.





Generasi Ketiga-Litar Elektrik 
(1964 - 1970)
1. Menggunakan teknologi litar bersepadu yang terdiri daripada beribu-ribu transistor yang diletakkan pada kepingan silikon.

2. Atur cara lebih serasi.

3. Bermulanya konsep multi pengaturcaraan. Beberapa pengguna berkongsi mesin. Istilah baru perkongsian masa.

4. Bermulanya pemprosesan rawak dengan penggunaan cakera magnet.

5. Lebih kuat, utuh dan padat.6. Bahasa pengaturcaraan dihasilkan seperti BASIC dan Pascal.


Generasi Keempat 
(1971 -1999)

1. Penggunaan litar bersepadu berskala besar. Istilah yang digunakan ialah Penyepaduan Skala-Besar (Large-Scale Intergration ataupun LSI).

2. Penggunaan mikro pemprosesan pada satu serpihan.

3. Dengan pengenalan storan maya, atur cara yang bersaiz beberapa kali saiz ingatan mesin boleh dilaksanakan.

4. Pengenalan kepada cakera padat ingatan baca sahaja (Compact Disc Read Only Memory( CD ROM ).

5. Ingatan utama komputer menjadi lebih cekap, pantas dan besar.


Generasi Kelima 
( 2000 sehingga kini)

1. Lebih canggih, lebih murah, lebih pantas dan lebih hebat daripada yang sedia ada dan kemampuan 'melihat', 'mendengar', 'bercakap', dan 'berfikir' seperti manusia-kepintaran buatan.

2. Memiliki kecerdikan buatan iaitu setakat mana manusia membuat komputer itu cerdik.

3. Melaksanakan tugas secara selari berbeza dengan caranya sekarang dan membolehkan tugas diselesaikan serentak.

4. Lebih cepat dan lebih kuasa untuk membuat penaakulan, belajar dan membuat kesimpulan.

Sunday 15 January 2012

Komputer (:

Komputer merupakan alat elektrik yang direka untuk membaca dan melaksanakan arahan yang membuatkan dalam operasi arimetik dan logik berdasarkan angka binari.Pada asasnya komputer terdiri daripada memori jangka pendek dan ingatan jangka panjang untuk penyimpanan data dan unit pemprosesan pusat yang berfungsi sebagai unit kawalan serta mengandungi unit logik arimetik.Aksesori (contohnya papan kekunci,tetikus atau kad grafik) boleh dihubungkan supaya komputer dapat menerima input luar dan memaparkan output.